Wednesday, March 7, 2012

Jati Diri Melayu Yang Semakin Hilang

Assalamualaikum..Salam Sejahtera..Salam Satu Malaysia..

Sekali lagi saya rasa terpanggil untuk memperkatakan tentang bangsa saya. Bangsa Melayu. Bangsa Melayu yang dahulunya gah dengan kehebatan jati dirinya. Bangsa Melayu yang suatu tika dulu masyur dengan ketinggian budi pekertinya.

Tapi kini, anak generasi kita sudah semakin kehilangan jati diri. Sudah seolah tidak mengenali asal usulnya. Sudah lebih mengagungkan budaya luar berbanding budaya sendiri. Ini bukan cakap-cakap kosong. Saya bercakap atas nama fakta. Saya menegur atas sikap rasa tanggungjawab.

Peringkat paling ketara yang dilihat jati diri mereka semakin terjejas adalah golongan remaja. Percayakah anda kebanyakan remaja Melayu pada era globalisasi ini sudah semakin hilang jati diri?

Siapakah yang lebih mengikut budaya fesyen barat? Remaja Melayu bukan? Siapa jugakah yang lebih tertarik dengan lagu-lagu dari barat? Remaja Melayu juga bukan? Adakah pernah kita dengar orang lama Melayu mendengar lagu-lagu barat? Tidak bukan? Mereka lebih gemar mendengar ghazal atau pun lagu keroncong.

Remaja Melayu sekarang lebih mudah meniru unsur-unsur luar. Kerana siapa? Kerana kita juga. Kita sendiri yang mendedahkan mereka kepada budaya luar. Kita juga yang menyekat mereka dari mengenali budaya mereka sendiri.

Kenapa saya bercakap seperti itu? Sebabnya, kalau tika saya kecil dahulu, pantang ada pesta kebudayaan pasti akan ada tarian kuda kepang. Akan ada persembahan zapin dan ghazal serta keroncong. Akan ada juga persembahan wayang kulit. Akan ada pertandingan ratu kebaya.

Kini, sudah lenyap ditelan masa budaya-budaya seperti itu. Yang ada hanyalah pertandingan karaoke. Yang tinggal cumalah pertandingan model yang mendedahkan aurat anak remaja. Pertandingan tarian-tarian barat. Apa yang dahulunya orang Melayu, bangsa Melayu banggakan sudah lenyap. Lenyap dek kebodohan kita sendiri yang kononnya budaya kita itu sesuatu yang tahyul.

Esok, jangan sampai anak generasi kita sendiri tidak kenal akan identiti bangsa Melayu. Jangan sampai bila ada yang bertanya apakah identiti orang Melayu jawapan "entah" yang anak generasi kita jawap sebagai balasan.

Fikir-fikirkanlah. Untuk anak generasi kita. Untuk masa depan bangsa kita. Bangsa Melayu.


No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...