Wednesday, March 7, 2012

Jati Diri Melayu Yang Semakin Hilang

Assalamualaikum..Salam Sejahtera..Salam Satu Malaysia..

Sekali lagi saya rasa terpanggil untuk memperkatakan tentang bangsa saya. Bangsa Melayu. Bangsa Melayu yang dahulunya gah dengan kehebatan jati dirinya. Bangsa Melayu yang suatu tika dulu masyur dengan ketinggian budi pekertinya.

Tapi kini, anak generasi kita sudah semakin kehilangan jati diri. Sudah seolah tidak mengenali asal usulnya. Sudah lebih mengagungkan budaya luar berbanding budaya sendiri. Ini bukan cakap-cakap kosong. Saya bercakap atas nama fakta. Saya menegur atas sikap rasa tanggungjawab.

Peringkat paling ketara yang dilihat jati diri mereka semakin terjejas adalah golongan remaja. Percayakah anda kebanyakan remaja Melayu pada era globalisasi ini sudah semakin hilang jati diri?

Siapakah yang lebih mengikut budaya fesyen barat? Remaja Melayu bukan? Siapa jugakah yang lebih tertarik dengan lagu-lagu dari barat? Remaja Melayu juga bukan? Adakah pernah kita dengar orang lama Melayu mendengar lagu-lagu barat? Tidak bukan? Mereka lebih gemar mendengar ghazal atau pun lagu keroncong.

Remaja Melayu sekarang lebih mudah meniru unsur-unsur luar. Kerana siapa? Kerana kita juga. Kita sendiri yang mendedahkan mereka kepada budaya luar. Kita juga yang menyekat mereka dari mengenali budaya mereka sendiri.

Kenapa saya bercakap seperti itu? Sebabnya, kalau tika saya kecil dahulu, pantang ada pesta kebudayaan pasti akan ada tarian kuda kepang. Akan ada persembahan zapin dan ghazal serta keroncong. Akan ada juga persembahan wayang kulit. Akan ada pertandingan ratu kebaya.

Kini, sudah lenyap ditelan masa budaya-budaya seperti itu. Yang ada hanyalah pertandingan karaoke. Yang tinggal cumalah pertandingan model yang mendedahkan aurat anak remaja. Pertandingan tarian-tarian barat. Apa yang dahulunya orang Melayu, bangsa Melayu banggakan sudah lenyap. Lenyap dek kebodohan kita sendiri yang kononnya budaya kita itu sesuatu yang tahyul.

Esok, jangan sampai anak generasi kita sendiri tidak kenal akan identiti bangsa Melayu. Jangan sampai bila ada yang bertanya apakah identiti orang Melayu jawapan "entah" yang anak generasi kita jawap sebagai balasan.

Fikir-fikirkanlah. Untuk anak generasi kita. Untuk masa depan bangsa kita. Bangsa Melayu.


Melayu Yang Semakin Berpecah

Assalamualaikum WBT .. Salam Mesra .. Salam Bicara .. Salam Satu Malaysia ..

Buat kesekian lamanya saya tidak meluahkan pendapat, kini saya berasa terpanggil sekali lagi untuk memperkatakan apa yang saya rasa saya perlu perkatakan. Dan, kali ini tajuk entri yang dipilih agak PANAS dari biasa. Tentang kita. Tentang bangsa kita. Bangsa Melayu Yang Semakin Berpecah.

Kenapa saya katakan tentang Melayu yang semakin berpecah? Lihat sahaja sekarang. Kita sudah berpecah kepda tiga kelompok. Tiga fahaman. Dan tiga pemimpin. Tidak perlulah saya katakan tentang tiga tersebut kerana kita sebagai warga Malaysia pasti tahu apakah tiga tersebut.

Bak Kata Dr.M, "Orang Melayu akan menjadi kumpulan minoriti yang tidak mampu memperjuangkan hak mereka jika mereka terus berpecah-belah.

Mengapa kita perlu berpecah? Menjadi satu dosakah bila kita bersatu. Anak generasi kita mendapat susahkah bila kita bersatu? Periuk nasi kita terjejaskah bila kita bersatu? Mengapa pejuang-pejuang kemerdekaan dulu yang tidak terdedah kepada majunya teknologi masa kini mampu bersatu menentang Malayan Union?

Janganlah hanya pandai menunding jari dan menyalahkan orang lain. Yang kita soalkan disini nasib bangsa kita kelak. Nasib Bangsa Melayu. Harus diingat, sekali kita menunding ke arah orang, empat kali kita menunding ke arah kita sendiri. Perbetulkan diri sendiri dahulu barulah mencari salah yang lainnya.

Kita perlu bersatu. Janganlah terlalu mementingkan agenda politik jika mahu kemerdekaan yang kita kecapi berkekalan. Ingat kembali tujuan kita merdeka. Renung kembali susah payah pejuang-pejuang kita mendapatkan kemerdekaa. Kaji kembali siapakah yang memerdekakan kita sehingga kita bebas melakukan apa sahaja tanpa ada yang meletakkan senjata dileher.

Fikirkanlah. Renungkanlah. Bukan untuk kita tetapi untuk anak bangsa kita. Jangan sampai kita merempat ditanah kita sendiri. Wallahualam ...

Lagu Peringatan


Anak Kecil Main Api
Terbakar Hatinya Yang Sepi
Airmata Darah Bercampur Keringat
Bumi Dipijak Milik Orang

Nenek Moyang Kaya Raya
Tergadai Seluruh Harta Benda
Akibat Sengketa Sesamalah Kita
Cinta Lenyap Diarus Zaman

Indahnya Bumi Kita Ini
Warisan Berkurun Lamanya
Hasil Mengalir Ke Tangan Yang Lain
Peribumi Merintih Sendiri

Masa Depan Sungguh Kelam
Kan Lenyap Peristiwa Semalam
Tertutuplah Hati Terkunci Mati
Maruah Peribadi Dah Hilang

Kini Kita Cuma Tinggal Kuasa
Yang Akan Menentukan Bangsa
Bersatulah Hati Bersama Berbakti
Pulih Kembali Harga Diri

Kita Sudah Tiada Masa
Majulah Dengan Maha Perkasa
Janganlah Terlalai Teruskan Usaha
Melayu Kan Gagah Di Nusantara

Melayu Kan Gagah Di Nusantara
Melayu Kan Gagah Di Nusantara


Monday, April 25, 2011

Takkan Melayu Hilang Didunia

Assalamualaikum WBT...Salam Mesra..Salam Perkenalan..Salam Satu Malaysia...

Serasanya ini kali pertama kita bersua bicara. Bersembang santai diruangan kecil yg menjadi perantara antara kita. Bukan berbicara untuk suka-suka. Sekadar meluahkan rasa dihati untuk kebajikan anak bangsa. Tajuk entry yang dipilih juga bukanlah sesuatu yang baru bagi kita. Bahkan ianya telah menjadi buah mulut yang membanggakan Anak Melayu sejak seberapa lama dahulu.

Meskipun tajuk ini telah biasa menjadi bual bicara tetapi 'roh'nya tidak terus melapuk ditelan dek zaman. Dikatakan bahawa ungkapan 'TAKKAN MELAYU HILANG DIDUNIA' adalah ungkapan yang pernah dilafaz oleh Laksamana Hang Tuah pada zaman Kesultanan Melaka. Zaman Kesultanan Melaka adalah rujukan kepada permulaan institusi Raja dan Sultan di Alam Melayu.

Hal ini turut pernah disebut dalam Buletin Utama TV3 pada 6 Mac 2009, yang menyatakan institusi Raja/Kesultanan Melayu telah bermula 600 tahun yang lalu.

Persoalannya, kenapa Buletin Utama TV3 menyiarkan berita ini? Kerana pada hari ini bangsa Melayu mengalami pergolakan dalaman hinggakan ada orang Melayu sendiri yang tidak lagi beradat terhadap Raja dan Sultan mereka. Perkara inilah juga yang menjadi kandungan dalam titah Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor semasa merasmikan Masjid Petaling Jaya, seperti yang disiarkan oleh Buletin Utama TV3.

Jika orang Melayu pada hari, yang baru 54 tahun memerintah negeri dan negara sendiri sudah berbalah, sudah lupa asal usul, sudah 'biadab', maka bagaimanakah Melayu itu tak akan hilang di dunia? Masih bolehkah lagi kata pujangga Laksamana Hang Tuah itu diguna pakai dan dibanggakan kita sendiri? Orang Melayulah yang kena berfikir dan orang Melayu jugalah yang kena membuat keputusan.

Melihat kepada apa yang berlaku selepas PRU-12, orang Melayu mula berani menentang Sultan dan Raja bermula daripada Pak Lah apabila beliau menentang Pelantikan Menteri Besar Trengganu oleh Istana, sebaliknya mempertahankan keputusannya yang telah melantik mantan Menteri Besar untuk kekal menjadi Menteri Besar. Kejadian seterusnya yang berlaku di Perak.

Saya tidak menyalahkan mana-mana pihak kerana apa yang berlaku sudah tentu ada hikmah yang paling besar di sebaliknya. Tetapi sebagai orang Melayu saya teramat risau melihat perkembangan yang berlaku.



Kalau dilihat pada sejarah Malaysia yg dahulunya dikenali dengan nama Tanah Melayu, sudah pastinya tanah berharga ini hak milik mutlak orang melayu, walaupun terpaksa dikongsi bersama kaum-kaum lain. Tetapi kenapa kini, orang-orang melayu khususnya di Pulau Pinang seolah-olah merempat dibumi sendiri.

Bukan mahu menyimbah minyak ke bara api, tetapi ianya fakta yg boleh dilihat dengan mata kepala kita sendiri apa yg terjadi dibumi bertuah itu. Hak orang melayu seakan diinjak-injak. Yang menyedihkan, bangsa seagama sendiri yg menjadi dalang disebalik perilaku melampau tersebut. Jangan sampai lirik yang berbunyi 'bumi dipijak milik orang' itu menjadi kenyataan kelak walaupun sudah banyak yang terlihat kini menjadi realiti.

Fikirlah wahai bijaksana sekalian. Buka minda buka mata buka hati. Jangan sampai ada parang yg melayang gara-gara sekecil ucapan yg membinasakan. Ingatlah, tanah ini tanah kita...tanah ini milik kita.Jangan sampai anak cucu kita kelak mengemis ditempat sendiri.

Fikirkanlah. Bukan untuk diri sendiri. Tetapi untuk anak generasi kita akan datang. Wallahualam.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...